Pemimpin Pembangkang
Yang Dapat Tanah Sembunyi Hasrat |
PUTRAJAYA, 24 Nov (Bernama) -- Pemimpin-pemimpin pembangkang yang
dahulunya berada dalam kerajaan mendapat tanah atau keistimewaan
lain dengan menyembunyikan hasrat mereka untuk menyertai parti-parti
pembangkang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata semasa pemimpin-pemimpin itu berada dalam kerajaan, mereka menyembunyikan hasrat mereka untuk menyertai parti pembangkang dan meminta bermacam-macam untuk diri mereka dan mendapat layanan.
"Tapi orang ini tidak pernah berterima kasih. Kalau kita tolong mereka, mereka akan gigit kita. Inilah tabiat mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Asiaspace Dot Com Sdn Bhd di Jabatan Perdana Menteri di sini, Sabtu. Dr Mahathir berkata tabiat seperti ini juga diajar kepada semua pengikut parti pembangkang oleh pemimpin-pemimpin itu. "Tidak berterima kasih, tidak rasa terhutang budi bila kita menolong mereka. Ini satu perkara yang amat buruk sekali," katanya. Menurut laporan sebuah akhbar tempatan hari ini, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata bahawa beliau bersedia untuk mendedahkan senarai nama mereka yang diberi tanah termasuk parti pembangkang semasa beliau mentadbir negeri itu. Pada Rabu lalu, Setiausaha Agung PAS Nasharuddin Mat Isa telah mencabar Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Senator Zainuddin Maidin supaya menamakan mereka dari kalangan parti pembangkang yang mendapat keistimewaan dari kerajaan Selangor. Sementara itu ketika bercakap mengenai perkara lain, Dr Mahathir berkata kerajaan bertekad untuk menentukan yang Malaysia tidak melalui kemelesetan ekonomi bagi tahun ini. "Kalau kita mengikut perhitungan biasa dalam dua suku tahun ini terdapat kuncupan ekonomi, itu bermakna kita berada dalam kemelesetan. Kita berharap suku keempat negara akan mencapai pertumbuhan yang sedikit tapi mencukupi untuk menentukan bagi seluruh tahun ekonomi berada dalam pertumbuhan positif," katanya. Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada sidang media bagi mengumumkan Perkembangan Kewangan dan Ekonomi Malaysia dalam Suku Tahun Ketiga semalam, berkata bahawa ekonomi negara terus mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh suku tahun ketiga dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 0.8 peratus berbanding suku tahun sebelum ini. Bagaimanapun, menurut Dr Zeti, pada asas tahunan KDNK dalam tempoh itu menguncup 1.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. |